Friday, March 27, 2009

Jangan...!!!

Menurut satu hadis yang diriwayatkan oleh Anas katanya : Rasululah SAW telah bersabda yang bermaksud : “Jangan seseorang di kalangan kamu bercita-cita untuk mati kerana ditimpa kemudharatan, sekiranya tidak mampu juga (untuk dia menanggungnya) maka katakanlah, Ya Allah, hidupkanlah aku sekiranya kehidupan itu baik untukku, dan matikanlah aku sekiranya kematian itu baik untukku..” (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Di dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda : “Janganlah seseorang di kalangan kamu bercita-cita untuk mati atau berdoa untuknya sebelum kematian itu datang kepadanya. Ini kerana apabila matinya seseorang di kalangan kamu akan terputuslah segala amalannya, sesungguhnya tidaklah bertambahnya umur seorang mukmin melainkan pasti untuk kebaikan.” (Diriwayatkan oleh Muslim)

Di dalam hadis yang lain yang juga diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda : ” Janganlah seseorang di kalangan kamu bercita-cita untuk mati, sekiranya dia seorang yang baik, kemungkinan hidupnya akan menambahkan lagi kebaikannya. Sekiranya dia seorang yang berdosa, kemungkinan hidupnya akan memberikan peluang pengampunan”
(Diriwayatkan oleh Bukhari)


Juga disebut oleh Jabir bin Abdullah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : “Janganlah bercita-cita untuk mati sekalipun berdepan dengan dugaan yang dahsyat. Sesungguhnya di antara kebahagiaan itu ialah dipanjangkan umur sehingga Allah memberikan keampunan.”
(Riwayat Ahmad, menurut Albani, hadis ini bertaraf dhoif)

Sesungguhnya kematian itu bukanlah hanya bentuk ketiadaan semata-mata bahkan ia merupakan detik terputusnya ruh dari badan dan terpisah buat selamanya. Ia juga merupakan perpindahan dari satu alam ke alam yang lain dan juga merupakan musibah yang paling besar. Allah SWT menyatakan di dalam al-Quran :
Yang bermaksud : “…jika kamu dalam perjalanan dimuka bumi lalu kamu ditimpa bahaya kematian…” (Surah al-Maidah, ayat 106)

Kematian itu adalah satu bencana yang besar, namun bencana yang lebih besar ialah apabila seseorang itu lupa tentangnya. Kelupaan itu akan membawa dirinya cuai terhadap persediaan untuk menghadapinya serta meninggalkan amalan-amalan sebagai bekal apabila berdepan dengannya. Sesungguhnya pada diri kematian itu terdapat pengajaran yang begitu besar bagi sesiapa yang berfikir. Di dalam hadis yang lain Rasulullah SAW telah bersabda : “{Sekiranya binatang ternakan mengetahui apa yang kamu ketahui tentang kematian, nescaya kamu tidak akan dapat memakan dagingnya (kerana kekurusan akibat tidak makan)”

No comments:

Post a Comment